Assalamualaikum dan salam sejahtera..
“Barangsiapa berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharap pahala, nescaya akan diberikan ampunan kepadanya atas dosa-dosanya yang telah berlalu”
(HR al.Bukhari dan
Muslim)
In shaa Allah,
tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk kita sebagai umat islam menyambut
kedatangan bulan Ramadhan yang sering kali ditunggu-tunggu oleh kita semua.
Baik seorang kanak-kanak yang baru pertama kali ingin merasai kenikmatan
berpuasa, mahupun golongan dewasa yang sudah melaluinya selama bertahun-tahun,
semuanya bagaikan tidak sabar untuk menghadapi ujian di bulan Ramadhan. Sama
ada persiapan telah dibuat sepenuhnya ataupun tidak, ujian tersebut tetap akan
kita lalui apabila telah ditentukan masa dan tarikhnya oleh Allah. Lulus atau
gagal dalam ujian tersebut? Kita yang pilih!
Bulan ini bolehlah
dianggap sebagai bulan ‘bonus' dari Allah SWT sebagai rahmat bagi
hamba-hambaNya. Gandaan pahala di bulan dan ketika puasa adalah amat hebat. Ia
berdasarkan hadith Qudsi yang menyebut :
"Setiap amalan anak Adam adalah digandakan pahalanya kepada sepuluh hingga 700 kali ganda, maka berkata Allah SWT : Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah khas untukKu dan Akulah yang akan membalas kebaikannya, mereka meninggalkan makanan, minuman dan syahwat mereka (di siang hari) hanya keranaKu"
(Riwayat Al-Bukhari & Muslim) .
B.O.N.U.S??
Niat yang ikhlas dan
benar ketika melaksanakan kewajiban Ramadhan adalah kunci kepada ‘bonus' yang
ditawarkan oleh Allah. Bermakna, barangsiapa yang berpuasa Ramadhan bukan
kerana Allah tetapi disebabkan oleh rasa malu kepada rakan-rakan, atau
ter'paksa' menuruti suasana atau hanya ingin menunjuk-menunjuk dan lain-lain
sebab keduniaan, tiadalah orang seperti ini layak mendapatkan ‘bonus' dan
tawaran istimewa ‘pahala luar biasa' yang ditawarkan oleh Allah.
Selain itu, pahala
‘bonus' ini juga boleh tergugat dengan amalan-amalan keji bercakap buruk
seperti maki, mencarut, mengeji orang, mengumpat, memfitnah dan apa-apa yang
berkaitan dengan dosa lidah dan anggota juga akan menipiskan lagi ganjaran
pahala seseorang walaupun ia berniat benar ketika berpuasa. Ini ditegaskan oleh
Nabi SAW dalam sebuah hadith ertinya
"Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala puasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya"
(Riwayat Al-Bukhari, 4/1903 - Fath al-Bari).
Semoga Ramadhan kali
ini lebih baik dari yang sebelumnya. in shaa Allah. Sama-samalah kita
menunaikan ibadat puasa ini dengan penuh keimanan disamping mengharapkan
Ramadhan kali ini dapat memberi seribu satu erti kepada kita semua. In shaa
Allah.
SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK
SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA KEPADA SEMUA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT SEKALIAN.
SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK
SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA KEPADA SEMUA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT SEKALIAN.
wasalam.
0 comments:
Post a Comment