Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Alhamdulillah, bertarikh 24 April 2014, telah berlangsungnya
satu lagi program anjuran Exco Pembangunan Modal Insan PMFEP. Program Bicara Ilmu yang diberi nama “Kerana
Dirimu Begitu Berharga” telah menjemput Ustazah Adawiah Lias selaku Ketua
Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) untuk berkongsi ilmu
yang dimiliki mengenai Aurat lelaki dan perempuan. Kata Ustazah Adawiah di akhir bicara, “Apa yang kita bawa, belum
tentu yang kita punya. Maka, kongsilah”.
Program yang bermula jam 5 petang bertempat di DK4 FEP telah
menerima sambutan yang tidak kurang hebatnya daripada para pelajar, mahupun
staf FEP sendiri. Perjalanan program selama hampir 2 jam dengan pelbagai
perkongsian pengetahuan, pandangan, nasihat diharapkan dapat dijadikan pembuka
jalan bagi para pelajar untuk terus muhasabah diri sendiri dalam usaha untuk
menjadi hambaNYA yang diredhai di dunia dan akhirat sana. In shaa Allah. Percayalah,tidak
pernah terlewat bagi kita untuk belajar.
Turut berlangsung, Kuiz berkaitan Aurat bermula jam 9 pagi
sehingga 5 petang di hadapan lif, FEP. Pemberian sarung lengan dan stoking kepada
para pelajar yang menyertai kuiz tersebut dilihat sebagai satu inisiatif
terbaik bagi menggalakkan lebih ramai sahabat-sahabat menutup aurat dengan
sempurna. Masuklah kedalam islam sepenuhnya. Sama-sama kita doakan yang
terbaik. Siapa kita untuk mengatakan buluh keras sudah tidak lagi boleh
dilentur? Letakkan lah harapan pada al-Malik ar-Rahman ar-Rahim, yang
membolak-balik hati sesiapa jua dikehendakiNYA.
Terima kasih dan tahniah kepada Ketua Pengarah, Timbalan
Ketua Pengarah dan semua AJK yang telah bertungkus lumus memastikan program
yang dianjurkan dapat berjalan dengan lancar seiring dengan perancanganNYA. Semoga
usaha kecil ini diteruskan lagi pada masa akan datang seterusnya dapat
memberikan impak yang besar kepada diri setiap daripada kita.